Kata-kata dan Puisi Usman Awang

Kurang Ajar

Sebuah perkataan yang paling
ditakuti
Untuk bangsa kita yang pemalu

Sekarang kata ini ku ajarkan pada
anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang
ajar
Untuk tidak mewarisi malu
ayahmu

Lihat petani-petani yang kurang
ajar
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari
bangsanya

Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memilik sifat kurang ajar

_______________________________________________

“Kesusasteraan adalah suatu alat yang penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata yang besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat. Alat dan senjata ini amat besar gunanya untuk menggulingkan segala keburukan dalam kehidupan rakyat. Dan tugas pertama dalam perhitungan ini adalah terpikul di atas bahu sasterawan-sasterawan angkatan baru kita yang sedikit masa dahulu hebat memperkatakan hak-hak kewajipannya.”

– Mingguan Melayu, 25 Mei 1952

“Penulis tidak perlu takut dan bimbang dengan cap mohor propaganda, malah dalam keadaan politik dan ekonomi sekarang ini dan dalam keadaan kehidupan manusia abad dua puluh ini, penulis membikin propaganda daripada ciptaan seni sastera yang bernilai.”

– Ceramah yang disampaikan dalam majlis ceramah anjuran Kelab Sosial, Universiti Malaya, 2 Oktober 1969
_____________________________

Anjing itu kurus kelabu

Lidah terjelir nafas termengah-mengah

Menjaga istana tuannya yang gemuk

Patuh setia, menerima dan menyerah

Anjing itu, sering menyalak-nyalak selalunya mendayu-dayu

Bukan kerana ada musuh

Tetapi minta makanan, perutnya lapar

Tuannya hanya mencampakkan cebis-cebis roti kering.

Anjing itu, tidak dibebaskan

Lehernya dirantai, punca digenggaman tuannya.

Anjing itu, bila perlu, diperah

Bagi menjaga keselamatan tuannya

Menjadi binatang lindungan desakan luar

Dan himpitan dalam

Begitu rupa nasib, anjing itu

Kurus kering, dalam semuanya tak cukupan

Hanya menanti rahim tuannya

Cebis-cebis roti kering

Dan tulang-tulang tak berdaging

Itulah jadi makanan, dan hidup jadi

Alat kesenangan manusia jahat memperhambakannya.

Siapa anjing

Hanya binatang setia.

3 Jun 1950, Utusan Zaman

p/s: dari buku Sasterawan Negara Usman Awang, tulisan Zurinah Hassan, “Mengikut Usman, para ketujuh sajak ini telah dipotong oleh penyunting akhbar kerana dianggap “subversif”. Penyiaran sajak ini menyebabkan pengarang Utusan Zaman, Saudara Zabha disoal oleh pihak polis.”

_________________________________________