Demokrasi dan seni tanpa sempadan?

(Penulisan untuk katalog pameran “Kuasa, Harapan dan Tanah”, kurator pameran, Intan Rafiza, Balai Seni Visual Negara BSVN)

Seni memainkan peranan penting dalam pembentukan negara demokratik untuk membangunkan masyarakat yang dinamik.Konsert, drama, tarian, muzik, teater, seni persembahan,seni pertunjukan, mural, stencil telah menjadi medium popular untuk memperkasa demokrasi dalam sesebuah negara.

 Seni tidak akan ada tanpa seniman, kerana seniman adalah bahagian dari masyarakat. Karya tidak akan wujud dalam ruang hampa (vacum), dan seniman tidak menghasilkan seni dalam ruang hampa, kerana mereka tidak lepas dari masyarakat dan masa di mana mereka bekerja atau berkarya.

John Dewey dalam teori “art as experience”  atau “seni sebagai pengalaman” membincangkan pengalihan pemahaman mengenai apa yang penting dan ciri-ciri tentang proses seni dari manifestasi fizikal dalam ‘ekspresif objek.Beliau juga berhujah bahawa secara keseluruhannya, proses asas serta unsur tidak lagi bersifat ‘karya seni’ bahan tetapi lebih kepada perkembangan ‘pengalaman’.

“Pengalaman adalah sesuatu yang peribadi mempengaruhi hidup kita”.

Teori-teori ini adalah sangat penting untuk kehidupan sosial dan pendidikan kita.[1] Ia adalah satu perkembangan dramatik dari batas-batas falsafah estetik. Teori ini menunjukkan hubungan diantara seni dengan pengalaman seharian dan mengingatkan kita mengenai tanggungjawab tinggi bahawa seni, masyarakat dan individu sentiasa terhutang kepada satu sama lain.

Peranan sebagai seorang seniman bukan hanya mencipta karya seni dan membuat pameran, tetapi ia mendokumentasi apa yang berlaku pada waktu itu, serta emosi personal dan pemerhatian yang berlaku dengan keadaan pada waktu itu. Ia bertindak balas kepada situasi yang mengambil kira pelbagai aspek dalam masyarakat yang mengambil kira keadaan politik, ekonomi, budaya dan sosial.

Hilangnya persempadanan dalam seni.

Mexico City – Palacio Nacional. Mural ( 1929 -1945 ) by Diego Rivera:
Exploitation of Mexico by Spanish Conquistadors- credit photo Wolfgang Sauber
(Wikimedia commons)

 “Dalam sejarah seni dunia, banyak contoh dimana seniman telah menggunakan seni sebagai medium kepada isu-isu dan mencipta karya berpengaruh dalam bertindak balas kepada keadaan atau isu sosial negara”.

 Sebagai contoh, lukisan mural dinding oleh Pablo Picasso, karya Guernica yang telah dihasilkan sebagai tindak balas kepada pengeboman Guernica, Negara Basque, oleh pesawat pejuang Jerman dan Itali atas perintah angkatan Sepanyol Nasionalis, pada 26 April 1937, semasa Perang Saudara Sepanyol.

Artist terunggul seperti Diego Rivera, juga mengambil bahagian dalam penubuhan Kesatuan Pekerja Teknikal, Pelukis dan Pengukir Revolusi; di mana karya-karya beliau adalah mengenai kuasa rakyat dan perjuangan. Mural yang menggunakan cat fresco dihasilkan bersama masyarakat Mexico yang mengambarkan revolusi  pada tahun 1910.

Perkembangan seni pertunjukan (performance art) juga boleh dilihat sejak dari perintis zaman Dadaist, yang menggabungkan puisi dan seni visual. German Bauhaus. Inisiatif yang ditubuhkan pada tahun 1919 adalah dalam bentuk bengkel teater untuk mengkaji hubungan antara ruang, bunyi dan cahaya. Begitu juga dengan kemunculan Black Mountain Collage di Amerika Syarikat dari pengajar Bauhaus yang dibuang oleh  Parti Nazi juga telah meneruskan kajian teater dengan seni visual dan “Beatniks”. Iaitu satu pergerakan generasi sastera stereotaip media pada tahun 1950-an dan awal 1960-an. Walaupun istilah belum lagi dicipta, namun ini adalah perintis kepada Seni Pertunjukan (Performance Arts).[2]

“Beatniks” pergerakan generasi sastera stereotaip media pada tahun 1950-an dan awal 1960-an

Pada tahun 1960,  seniman menjadi amat kritikal dan lantang dalam seni yang menyuarakan hak sivil, budaya dan hak belia, antiperang, ulasan-ulasan mengenai agama, jantina, stereotaip kaum dan jantina, kepenggunaan, ketamakan korporat, dan kuasa yang membentuk semula landskap budaya dan politik. Seni pascamoden adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan pergerakan seni yang dianggap sebagai bertentangan dengan beberapa aspek modenisme.

Dalam penulisan Martha Rosler, beliau menulis dimana pada tahun 1960-an menyaksikan pelbagai bentuk pemberontakan oleh seniman menentang pasaran bebas dan munculnya terma seperti “dematerialisation”  dalam aliran perkembangan seni;

“In the face of institutional and market ebullience, the 1960s saw several forms of revolt by artists against commodification, including deflationary tactics against glorification. One may argue about each of these efforts, but they nevertheless asserted artistic autonomy from dealers, museums, and markets, rather than, say, producing fungible items in a signature brand of object production. So-called “dematerialization”[3]

 Secara umumnya, Seni pop (pop art) dan Minimalism bermula sebagai gerakan modenis yang dilihat sebagai  satu anjakan paradigma dan perpecahan falsafah antara formalisme dan anti-formalisme pada awal tahun 1970-an menyebabkan pergerakan itu dilihat sebagai peralihan seni pascamoden. Dari situ munculnya pengaruh kepada seni pascamoden yang lain adalah seni konseptual  (conceptual arts), instalasi, intermedia dan multi-media  dengan penggunaan teknik-teknik seperti bricolage, penggunaan perkataan-perkataan atau text dalam penghasilan karya, kolaj, simplification, appropriation, seni persembahan, penghasilan semula gaya dan tema yang lepas dalam konteks zaman moden, serta memecahkan sempadanan di antara “high art”  dan “low art” dengan budaya popular.

Seni Pertunjukan telah dikelaskan dengan lebih khusus pada 1970  dengan seni yang di lakukan secara langsung, dan bukan teater.[4] Seni pertunjukan juga bermakna bahawa ia adalah seni yang tidak boleh dibeli, dijual atau diperdagangkan sebagai komoditi. Seniman seni persembahan melihat ia sebagai suatu pergerakan iaitu satu cara untuk membawa seni mereka terus ke dalam ruang awam sekali gus menghapuskan keperluan untuk galeri, ejen, broker, dan apa-apa aspek kapitalisme.

Seni sebagai medium advokasi awam

“the great walls of Los Angeles” 2,754 feet (840 m) Done by 400 people (1984). credit image: google image

“Jika melihat dari perkembangan seni dunia, seni tidak lagi dilihat sebagai seni untuk seni sahaja dimana seni telah mendapat tempat yang lebih dekat dengan ruang awam”.

Dalam tulisan Dr.Jodi Kushins dari University Of Florida, beliau menegaskan bahawa seniman seharusnya diletakkan sebagai intelektual awam, kerana seniman dari cabang visual hingga persembahan adalah pendidik yang memberi wawasan dan menimbulkan persoalan tentang dunia, dan khalayak adalah sebagai pelajar yang aktif memberikan erti dan interpretasi pada karya yang dilihat.[5]

Ini jelas menunjukkan seni bukanlah untuk keindahan semata-mata tetapi mampu membangunkan budaya kritis dalam sesebuah masyarakat. Di dalam penulisan Dr. Jodi juga menjelaskan dimana peningkatan jumlah artis kontemporari, secara langsung membuat projek-projek yang melibatkan komuniti secara langsung dan mencabar status quo.

Pelukis, aktivis dan professor Seni Halus University of California Judy Baca, antara pengasas ruang seni dan komuniti SPARC (Social and Public Art resource center) membawa contoh dalam idea “ the great walls of Los Angeles” dengan melibatkan orang awam dari pelbagai bangsa, umur dan latar belakang menghasilkan mural yang menggambarkan sejarah bandar Los Angeles, yang tidak dijumpai rakaman sejarahnya dalam buku-buku sejarah. Dalam penghasilan mural, beliau menemubual warga kota tentang  kehidupan mereka, sejarah keluarga, keturunan, dan cerita mereka masih ingat dari saudara-mara mereka yang lebih tua, serta pakar sejarah dan menghasilkan imej-imej visual dari data-data yang terkumpul.

Seni juga menjadi kenderaan untuk advokasi massa, memperkasa masyarakat tentang isu semasa, sebagai medium protes  atau medium berbentuk propaganda politikal yang jauh lebih mudah disampaikan ke masyarakat umum. Dengan mengunakan seni sebagai medium advokasi awam, ianya juga membuka ruang perbincangan yang lebih santai dan secara langsung membangun budaya pemikiran kritis dalam sesebuah masyarakat.

Apabila seni digunakan sebagai medium untuk mengangkat isu-isu dalam lingkungan masyarakat, secara tidak langsung seni diberi ruang khas dalam masyarakat dan perbincangan. Ianya bukan hanya sekitar isu seni dan elemen seni dalam kelompok seni tetapi dapat melibatkan pelbagai latar belakang diluar penggiat seni juga.

Di serantau Asia, seperti Indonesia terdapat banyak contoh-contoh seniman yang membangunkan budaya kolektif dalam menjalankan aktiviti seni. Kesenian mereka tidak lagi dilihat sebagai individu, tetapi lebih mengangkat ideologi kelompok seniman itu dalam mengutarakan isu-isu masyarakat.  Ini secara langsung memecahkan lagi definasi egosentris “seni untuk seni” dan mendekatkan seni dengan masyarakat.

Indonesia memiliki sejarah yang panjang dan menarik dalam perkembangan seni dan masyarakat, dan Taring Padi adalah satu kelompok seniman yang mana idea berkarya sebagai tindak balas pada situasi sosiologi negara Indonesia.

Multicultural State Hegemony, by Taring Padi (Indonesia)

Taring Padi mengunakan seni untuk advokasi orang awam yang menolak budaya komersial seni dan menggangkat seni ke ruang awam dengan mengangkat isu-isu lingkungan dan komentar sosial dalam masyarakat Indonesia. Kelompok ini menggunakan visual untuk berkomunikasi dengan warga desa dan menggunakan komik, catan berskala besar dan poster cetakan atas kayu  yang dipasang di ruang-ruang awam dan diberikan kepada orang awam. Mereka tidak hanya mengadakan diskusi tentang memperdebatkan isu dengan golongan seniman malah juga membuka ruang dengan warga desa setempat untuk melibatkan diri dalam kegiatan kesenian mereka.  Ini adalah salah satu cara kolektif yang digunakan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat desa tentang isu-isu setempat dan konflik selama zaman Soharto.[6]

Kebebasan Ekspresi dalam Seni di Malaysia

“Apabila bercakap tentang kebebasan ekspresi, ia tidak terhad kepada ucapan semata-mata tetapi ia juga termasuk hak kebebasan berekspresi melalui buku, surat akbar, sebaran penulisan, persembahan teater, seni halus, hak berhimpun secara aman, demonstrasi dan perarakan”.

Ia adalah hak kebebasan bersuara yang merupakan kunci kepada merealisasikan demokrasi yang berdasarkan kedaulatan undang-undang dan apabila direalisasikan bergantung praktik kebebasan asasi dan hak asasi manusia yang lain.

Pada tahun 1991, persembahan traditional seperti wayang kulit dan mak yong telah di haramkan oleh kerajaan negeri Kelantan yang melarang dan mengharamkan sebarang bentuk tradisi persembahan tradisional di Kelantan atas alasan bahawa bentuk ekspresi budaya yang sedemikian adalah bertentangan dengan ajaran islam[7].

Pada Tahun 2002 pihak berkuasa Universiti Teknologi Malaysia telah melarang pelajar dari mengadakan pameran kebudayaan Cina dan persembahan di dewan kampus dengan menarik kebenaran yang telah diberikan dua hari sebelum pameran diadakan atas alasan dewan kampus hanya boleh digunakan untuk tujuan akademik.[8]

Pada 2003, pihak berkuasa telah membatalkan permit untuk persembahan teater “vagina Monologue”, dengan mengancam untuk membatalkan komedi oleh Instan Cafe Theater. Dengan ancaman ini, mereka tidak akan mengeluarkan permit untuk acara masa depan kepada syarikat dan membentuk badan siasat untuk memeriksa dan mengkaji semula semua skrip teater sebelum membenarkan atau menolak persembahan teater.

Pada tahun yang sama, beberapa seniman mural juga telah ditahan pihak berkuasa dan memaksa mereka memberhentikan proses pembuatan mural. Ada juga beberapa kes penahanan activis seni yang menghasilkan stensil di jalan-jalan yang menghasilkan karya-karya yang lebih berbentuk satira berbaur politik dengan  mengunakan ikon, simbol yang didisusun semula. Mural dan stensil yang dihasilkan akan dipadam oleh pihak berkuasa dan orang awam masih meletakkan seniman mural dan stensil jalanan ini tergolong dalam golongan penyalahguna ruang.

Tok Ampoo Teater Reformasi

Pada zaman reformasi 1998, telah munculnya kumpulan teater dari gerakan mahasiswa yang membentuk kumpulan Universiti Bangsar Utama (UBU). Kemunculan teater ‘Tok Ampoo’ arahan Hishamuddin Rais bersama-sama UBU di seluruh negara telah mengangkat dengan kritis keadaan politik negara, namun teater ini juga telah di tutup sewaktu persembahan pada 2001 di Kuala Lumpur.

 “Teater politik dan seni satira itu menggunakan konsep “agit-prop,” agitation dan propaganda, seperti dipersembahkan untuk protes jalanan, sebahagian daripada demonstrasi atau kegiatan politik.Teater agit-prop merupakan satu cabang seni lakonan pentas yang dipersembahkan di luar pentas biasa teater dan selalunya dilakonkan di tempat tumpuan awam secara tidak dirancang (sebab itu, dikenali juga sebagai “teater gerila”), untuk menzahirkan satu luahan rasa politik, khususnya yang kritis terhadap aliran arus perdana, dan menarik reaksi protes dan debat dengan penonton.” Tok Ampoo Teater Reformasi; Fathi Aris Omar, Ketua Pengarah Malaysiakini

Pada tahun 2004, kita dapat melihat munculnya ruang-ruang seni independan yang dikelola oleh golongan seniman sendiri, festival seni independen dan kumpulan seni kolektif. Seniman muda telah mula melibatkan diri dengan aktivisme dan seni untuk  meningkatkan kesedaran tentang isu-isu lingkungan masyarakat melalui medium-medium seperti poster, mural, t-shirt DIY, seni persembahan, musik, puisi telah mula mengangkat dan membincangkan isu-isu hak asasi manusia dan keadaan sosial semasa. Kumpulan-kumpulan ini bergabung yang terdiri dari seniman muda dan aktivis.

Acara seperti festival seni Notthatbalai pada tahun 2004 adalah salah satu acara kesenian yang menggabungkan seni pelbagai disiplin dari seni visual, musik, persembahan, arca, foto, installation art, mural dan seni cetak. Dengan membuat kerjasama  diantara dua seniman muda dari universiti Teknologi Mara Ili Farhana , Saiful Razman dan bersama Yeoh Lian Heng dari  Lost Generation Space, mereka telah bersama-sama menjayakan festival ini. Acara pertama Notthhatbalai yang dijalankan selama 5 hari ini termasuklah pameran seni visual, bengkel seni, dialog bersama pengkarya dan ianya mendapat sambutan yang baik dari pelbagai latarbelakang  orang awam, seperti aktivis, pergerakan bukan kerajaan(NGO), penulis dan ahli akademik.

Antara tujuan utama acara ini adalah untuk memberikan ruang kepada pengiat seni untuk membuat pameran di ruang luar galeri dan juga mengangkat konsep seni alternatif dan aktivisma dalam seni. Seorang seniman Indonesia yang terkenal Arahmaini adalah antara seniman jemputan dan telah berkongsi tentang pendedahan kefahaman seni, aktivisma, pengaruh dan peranan  seniman dalam karya seni dalam melibatkan diri dengan isu sosial dengan orang ramai.

performance art yang di lakukan diruang publik oleh Aisyah Baharuddin di acara Notthatbalai art fest 2007

Acara seni pertunjukan juga telah mula diadakan di ruang-ruang awam. Contohnya acara ‘Stopover’ yang berlaku pada 2005 adalah bertujuan untuk pertukaran budaya dan eksplorasi seni pertunjukan. Konsep kerjasama dijalankan antara penganjur Malaysia dan penganjur dari Singapura ini telah menganjur acara ini dengan mendapat sokongan ruang dari kumpulan seni dan aktivis yang dikenali sebagai Universiti Bangsar Utama (UBU). Acara ini terdiri dari seniman-seniman dari negara Jepun yang terdiri daripada Seiji Shimoda, Makoto Murayama, Kazuhiro Nisjima, dan seniman Singapura iaitu Kai Lam, Andree Wescheler, Rizman Putra, Katak KUDUNG, Tang Da Wu dan Juliana Yasin.

“Two evenings with more than 15 performances were enough to educate me on the meaning of performance art. What took place in late May 2005 at UBU was rather ground-breaking. I meant ground-breaking here in our kampung called Malaysia, not in Pekan Paris, Sungai Thames or Tembok Berlin. What took place at UBU pushed the artistic boundaries further than Salleh Ben Joned urinating at a third-rate art show in 1971.-Hishamuddin Rais-” the Edge, 2005

Dari situ munculnya acara seni persembahan international independan seperti Satukali oleh Liew Kungyu dan Ray Lagenbach yang mana salah satu acara kontroversial dimana terjadi serbuan dan acara diberhentikan oleh pihak berkuasa pada hari acara tersebut atas alasan beberapa persembahan dari seniman mengganggu sensitiviti orang awam.

Selain daripada itu juga, program komuniti seni seperti projek seni Kampung Berembang telah menggunakan medium wayang kulit kontemporari dengan bahan-bahan terbuang seperti kadboard dan bahan tara yang lain. Dan dari kerjasama ini, persembahan wayang kulit ini adalah dari pengalaman  anak-anak kampung Berembang sendiri tentang  perasaan trauma melihat rumah mereka dibakar berulang kali; saudara-mara dan rakan-rakan mereka dikasari; masjid dimusnahkan; kehidupan mereka hanya tinggal runtuhan dari tempat tinggal mereka. Persembahan wayang ini dipersembahkan oleh anak-anak Kampung Berembang pada malam Hari Hak Asasi Sedunia, 10 Disember 2006 di tapak perobohan rumah Kampung Berembang, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Tahun 2006 pula, teater berjudul Baling (membaling) oleh teater Mark Teh Chang Yoong Chia, Fahmi Reza, Imri Nasution, Hari Azizan, Norman Teh,dan Marion D’Cruz adalah persembahan semula dokumen-prestasi yang membentangkan beberapa suara dan pengalaman pra-kemerdekaan Malaya. Koleksi ceramah keamanan Baling 1955 oleh wartawan dan aktivis Said Zahari berselang-seli dengan teks daripada peserta utama pada rundingan sebenar – Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dengan Chin Peng iaitu Setiausaha Agung dari Parti Komunis Malaya. Berkisarkan tentang ‘Alat’ penjajah British – senjata dan propaganda juga diterokai, serta pengalaman peribadi Darurat, kajian daripada keluarga dan kawan-kawan pelaku.

Kebebasan berekspresi dalam seni di Malaysia jika dibandingkan dengan tahun 90an hingga akhir 2008 sebelum ini, telah menampakkan perubahan dari segi konteks kebebasan berekspresi yang melibatkan pengunaan medium seni yang berbeza.

Keterbukaan pihak berkuasa juga jauh lebih baik dimana,  kita dapat melihat karya kerjasama grafiti sepanjang ruang awam di pasar seni .Di Pulau Pinang juga, keterbukaan masyarakat awam dan pihak berkuasa  dengan menerima baik mural setinggi 6 meter yang di hasilkan oleh pelukis muda Ernest Zacharevic sempena festival George town 2012.

Hubungan antara institusi seni seperti Balai Seni Visual Negara dengan pengiat seni independan menunjukan peningkatan yang lebih baik dengan keterbukaan BSVN menjadi hos untuk acara seni persembahan “Buka Jalan” pada awal tahun 2011. Ini adalah satu usaha dan kerjasama yang baik dan haruslah diteruskan dalam memartabatkan lagi seni kontemporari  di Malaysia. Dengan sokongan positif dan sikap keterbukaan BSVN ini, ianya secara tidak  langsung telah membuka lagi peluang untuk perkembangan seni dan masyarakat dalam membentuk pemikiran kritis seni.

Penggunaan seni sebagai medium protes tidak seharusnya dilihat sesuatu yang negatif kerana ia membangun lagi aprisiasi masyarakt biasa dengan cabang-cabang seni dan secara langsung memberikan kesadaran tentang sesuatu isu semasa. Dalam pada masa yang sama kebebasan berekspresi dan reaksi dengan karya seni contohnya haruslah menjadi bahagian dai tangungjawab di “pengkarya” dimana ia haruslah memahami konteks yang lebih mendalam yang mengambil kira sensitiviti orang awam terutama seni-seni yang menggunakan ruang awam atau seni yang berbentuk komuniti.

Seni adalah bahasa universal yang mampu berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza latarbelakang, fahaman ideologi hidup mahupun politik. Ruang diskusi tentang kesenian dan perbincangan idea-idea kritis harus diberikan dan diperbanyakkan supaya ia dapat membangunkan budaya kritik dan diskusi antara pengiat dan pengamat seni.

Kempen-kempen kesedaran awam contohnya pendedahan hak asasi, pendidikan pengundi dan pilihan raya, isu-isu berkenaan alam sekitar dan isu-isu sosial atau perundangan dan perlembagaan negara boleh di bentuk menjadi medium kempen yang lebih kreatif. Program-program kesadaran yang mengunakan seni sebagai medium kesadaran atau advokasi mampu membangun hubungan antara seniman dan aktivis juga membentuk masyarakat yang lebih terbuka dan dinamik dengan membina hubungan dan penglibatan bersama yang mengajak masyarakat berpatisipasi secara langsung dalam seni dan juga berdialog tentang isu atau kempen yang dibawa.

Sebagai sebuah negara yang melaungkan demokrasi, seni seharusnya di merdeka kan dengan menggangkat seni sebagai advokasi awam, seni dan ruang awam atau seni dan komuniti setaraf seni untuk seni. Untuk ini, seniman yang bergiat aktif dalam seni harus mampu meletakkan diri yang lebih kritikal sebagai penganalisa atau pengkritik sosial. Kurator atau galeri harus memainkan peranan dalam mempromosi program seni masing masing untuk membangun “network” dengan mahasiswa seni

Peningkatan kesadaran tentang pentingnya pendidikan seni yang memberi pendedahan dengan lebih mendalam tentang sejarah seni, proses penghasilan kerja seni, aprisiasi karya seni haruslah ditekankan dan diberikan dari pendidikan awal hingga ke peringkat universiti dengan bentuk pembelajaran yang lebih menarik dan mengalakkan pembelajaran secara dialectic untuk membangun pemikiran yang kritis.

Institusi seni seperti BSVN dan kementerian budaya mampu membantu mengubah persepsi massa yang melihat mural atau stencil sebagai vandalisma, dengan memperakui karya-karya anak-anak lokal yang lebih memilih untuk bergerak secara anonim dan menganggkat karya mereka sebagai seni dan satu cara medium berekspresi dan memberikan ruang dan sokongan kepada mereka. Dialog-dialog seni dan aktivisma juga harus dimulakan dan diberi ruang bukan hanya di ruang independant seni dan galeri privat, tetapi juga di dalam BSVN. Sebagai sebuah institusi negara ia akan menjadikan platform yang positif untuk pembangunan arena seni, dimana ruang seni dan aktivisma telah dibuka untuk perbincangan dan melakukan aktiviti  dan berbincangan bersama bukan hanya tentang elemen estetika seni tetapi isu yang berkait rapat dengan masyarakat. Ini secara langsung menjadi  langkah positif  dalam memerdekakkan idea seni dan demokrasi.

Tanggungjawab seniman itu besar, dan kenyataan bahawa seni dan budaya begitu penting dalam memperhalus persepsi dan pandangan yang wujud dalam masyarakat. Peranan ini yang budaya sifatnya, mempunyai kemungkinan besar untuk mengubah persepsi dan sikap secara mendasar. Dan ini memerlukan komitment bukan hanya dari seniman sendiri tetapi institusi, galeri, orang awam dan negara.


[2] Performance Art – Art History, shelly Esaak; http://arthistory.about.com/cs/arthistory10one/a/performance.htm

[3] Take the Money and Run? Can Political and Socio-critical Art “Survive”?Martha Rosler, http://bit.ly/LTy5vC

[4] Performance Art – Art History, shelly Esaak; By 1970, “Performance Art was a global term, and its definition a bit more specific. “Performance Art” meant that it was live, and it was art, not theater.” http://arthistory.about.com/cs/arthistory10one/a/performance.htm

[5] Recognizing Artists as Public Intellectuals: A Pedagogical Imperative, Jodi Kushins; CultureWork -A Periodic Broadside for Arts and Culture Workers; May 2006. Vol. 10, No. 2., Center for Community Arts and Cultural Policy, Arts & Administration Program, University of Oregon. ISSN 1541-938X

 

[6]Teeth of the rice plant-Taring Padi,Heidi Arbuckle http://undergrowth.org/teeth_of_the_rice_plant_taring_padi

[7]Freedom of Expression in Arts in Malaysia, pg 31, National Human Rights Society (HAKAM) 2003

[8] Ibid, p. 18

Leave a comment

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑